*Artikel lepas yang dicadangkan untuk pembacaan sempena musim peperiksaan khususnya kepada pelajar-pelajar di Mesir dan sewaktu dengannya.
Musim peperiksaan atau musim exam telah pun tiba.Semua orang bertungkus-lumus menyiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan ini.Apatah lagi bagi peperiksaan akhir tahun.Bagi pelajar perubatan di Mesir atau di negara lain,peperiksaan akhir tahun inilah yang menentukan sama ada pelajar tersebut boleh meneruskan pengajiannya pada tahun depan ataupun tidak.Sebab itulah,pada musim ini,kita lihat pelajar yang sebelum ini suka membuang masa begitu sahaja,menonton movie berjam-jam,berchatting sampai awal pagi,bermain computer games atau Xbox atau apa-apa permainan video yang lain,tiba-tiba pabila hadirnya musim ini satu perubahan secara drastik berlaku.Daripada tidak membaca buku kepada membaca buku,daripada tidak membuat soalan-soalan peperiksaan tahun-tahun lepas kepada menjawab,menyemak dan menilai soalan dan jawapan tersebut,daripada tidak berjaga pagi kepada sanggup bersengkang mata demi menghabiskan buku yang perlu dibaca.Inilah lumrah kehidupan bagi mana-mana pelajar sama ada di peringkat sekolah,kolej mahupun universiti.Hampir setiap orang tidak terkecuali daripada perkara yang saya sebutkan ini.Kita sebenarnya harus sedar bahawasanya satu hakikat yang amat penting iaitu manusia apabila betul-betul sedar akan kepentingan sesuatu perkara,sedar betapa perkara tersebut boleh menentukan masa depan mereka menjadi kabur atau terang,sedar betapa diri mereka memerlukan perkara tersebut,maka manusia akan sanggup membuat apa sahaja demi mencapai hasrat dan matlamat itu.
Apabila diri kita semakin hampir kepada tarikh sesuatu peperiksaan,secara tiba-tiba kita akan berasa cemas,jantung kita mula berdegup lebih laju,nadi kita mula berdenyut dengan lebih cepat,hati kita mula rasa gelisah,tidur pun jadi tidak lena.Semuanya ini sebenarnya berlaku menurut sunnatullah yang mana dalam sistem badan kita apabila emosi kita mula terganggu oleh apa sahaja perkara tidak kira sama gembira,sedih,cemas,gelisah,resah dan seumpamanya,stimulasi sympathetic(sympathetic stimulation)di dalam badan kita akan mula aktif.Stimulasi inilah yang memainkan peranan dalam meningkatkan degupan jantung kita(incerase cardiac properties) dan akan meningkatkan denyutan nadi kita(through elevation of cardiac properties and vasoconstriction).Namun,saya sering kali juga terfikir,adakah diri kita apabila mengingati hari akhirat,atau diperkatakan mengenai hal akhirat,atau membaca sesuatu perihal hari akhirat,adakah tindak balas yang berlaku semasa diri merasakan begitu hampir kepada hari peperiksaan berlaku juga ke atas kita apabila mengingati hari akhirat,hari yang tiada keraguan padanya?Jika jawapannya,YA,alhamdulillah.Bersyukurlah kepada ALLAH kerana telah memberikan hidayah dan taufik kepada anda.Namun,jika jawapannya TIDAK.Maka kita sepatutnya perlu menyemak balik keadan diri kita.
Hal ini kerana tidak mungkin satu orang yang tahu dengan yakin dan pasti sesuatu perkara yang teramat penting akan berlaku,tidak merasakan apa-apa kegelisahan di dalam hatinya.Beberapa banyak perkara dalam dunia ini,apabila kita begitu hampir dengannya kita akan rasa secara automatik gelisah dan resah melanda pada diri kita.Seseorang atlet yang tahu bahawa esok ialah hari perlumbaan bagi dirinya,maka pada malam itu pasti dia akan mula merasa bahang persaingan itu.Maka,orang yang beriman yang percaya 100% bahawa hari kiamat akan berlaku,sudah pastilah juga hatinya akan rasa takut,gerun,gementar,resah memikirkan dan menantikan saat berlakunya hari tersebut.Apabila lahirnya perasaan sedemikian,maka orang yang beriman akan membuat persiapan-persiapan yang secukupnya bagi menghadapi hari akhirat sebagaimana pelajar-pelajar membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan.
Oleh sebab itulah,kita sebenarnya wajib mengingati dan sedar setiap masa bahawa hari kiamat itu amat dekat dan hampir.Berbezanya dengan peperiksaan,hari kiamat ini tidak dikhabarkan mengenainya tarikh akan berlaku hari tersebut.Maka bayangkan bila-bila masa sahaja ALLAH boleh menjadikan hari kiamat.Cuba kita bayangkan,jika tarikh peperiksaan kita tidak ditetapkan dan diberitahu,sebaliknya tarikh tersebut bergantung seratus peratus kepada Canselor Universiti untuk menetapkannya bila dia mahu,maka sudah pasti kita sebagai pelajar sentiasa memastikan diri kita sentiasa bersedia kerana kita bimbang hari peperiksaan boleh diadakan bila-bila masa. Allah berfirman dalam surah Al-Ma’arij ayat 6 dan 7:
“Mereka memandangnya(azab) jauh(mustahil).Sedangkan Kami memandangnya dekat(pasti terjadi).”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan