D. Kekangan Bagi Merealisasikan Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu melalui penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) di dalam pengajaran dan pembelajaran adalah lebih daripada sekadar menggunakan satu perisian pendidikan yang baru. Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et.al. menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambah motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik, dan meningkatkan literasi maklumat menurut Roblyer & Schwier.
Pengajaran Bahasa Melayu (BM) tidak terkecuali daripada pengaruh TMK. Walaupun pelajaran BM hanya melibatkan penguasaan kemahiran bahasa yang kelihatan agak mudah untuk dikuasai, namun masih terdapat beberapa isu yang dianggap boleh mengganggu keberkesanan pengajaran. Masalah tersebut termasuklah penguasaan kemahiran asas BM seperti lisan, membaca dan menulis. Pada tahap yang lebih tinggi, masih terdapat pelajar yang tidak dapat memahami teks yang dibaca dengan sempurna. Disamping itu, pada tahap sekolah menengah, penguasaan menulis juga masih perlu diberi perhatian untuk memastikan objektif pengajaran BM tercapai. Oleh yang demikian, penggunaan komputer dalam pengajaran BM dilihat sebagai satu usaha yang sesuai untuk memberikan impak terhadap permasalahan yang dihadapi.
Sebagai alat bantu pengajaran yang terkini sifatnya, penggunaan komputer dilihat sebagai usaha yang mampu mengubah persepsi pelajar terhadap pembelajaran BM. Guru BM sebagai pengendali pengajaran, perlu mempunyai keterampilan dalam mengendalikan pengajaran bahasa berbantu komputer. Walaupun terdapat kesukaran dalam melaksanakannya, guru perlu bersedia dengan kemahiran dan pengetahuan selaras keperluan pendidikan kini yang memerlukan pengajaran lebih berpusatkan pelajar.
Penggunaan TMK sebagai alat atau bahan bantu mengajar di dalam bilik darjah semakin diperlukan, terutamanya di Sekolah Bestari, Sekolah Kluster, dan sekolah-sekolah yang banyak menyediakan makmal komputer dan ada mata pelajaran Literasi Komputer. Namun demikian, ketaksuban dan keterlaluan bergantung kepada penggunaan TMK seperti komputer, internet, laman web, e-mel dan lain-lain boleh memberi impak yang besar kepada proses pengajaran dan pembelajaran guru itu sendiri. Dalam hal ini, pendidikan BM juga tidak terkecuali menghadapi masalah dalam pelaksanaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran BM. Guru dan pelajar akan mengalami masalah dan cabaran yang amat besar jika kedua-duanya terlalu bergantung kepada TMK untuk memperoleh dan menguasai ilmu pengetahuan. Antara masalah penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran BM antaranya adalah seperti berikut:
i. Pengetahuan dan kepakaran guru terhad
Kajian tentang TMK dan peranannya dalam pengajaran dan pembelajaran seperti kajian Suwarnee, Ros Azura, Hamzah secara umumnya mereka mendapati bahawa tahap pengetahuan dan kepakaran guru-guru BM masih berada di tahap sederhana. Dalam hal ini, ada sesetengah guru BM tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mendalam bagaimana hendak menggunakan TMK seperti internet, laman web, komputer, bagaimana hendak mengakses laman-laman web yang boleh dijadikan bahan bantu mengajarnya, dan sebagainya. Hal ini banyak berlaku kepada guru-guru berpengalaman yang sudah mengajar BM lebih daripada 10 tahun dan ke atas, pengetahuan dan kepakaran yang terhad ini membataskan guru-guru BM untuk menggunakan TMK dalam pengajarannya. Menurut Mohd Sarif, pengetahuan dankepakaran yang terhad menyebabkan guru tidak mahu menggunakan TMK sebagai sebahagian daripada bahan bantu pengajarannya.
ii. Kandungan bahan berkaitan TMK terbatas.
Mohd Arif, Rosnaini dan Zainuddin, menyatakan bahawa kini terdapat banyak laman web yang dibina dan ditulis dalam BM dalam internet. Bagi laman web yang berkaitan pendidikan, sudah tentu ia sesuai dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran bagi guru-guru BM. Namun begitu, tidak semua bahan yang terdapat dalam internet, laman web dan lain-lain sesuai dengan kurikulum sesuatu mata pelajaran BM, ini sudah tentu menyukarkan guru-guru BM untuk mengetengahkan bahan-bahan yang sesuai untuk pendidikan BM kepada pelajar-pelajarnya. Ini secara tidak langsung membataskan pengetahuan pelajar tentang mempelajari bahasa menggunakan teknologi seperti internet. Di samping itu, bahan-bahan yang terdapat dalam TMK lebih kepada cita rasa, budaya dan norma-norma masyarakat Barat yang kurang sesuai untuk pendidikan para pelajar. Justeru, guru BM perlu mengenalpasti dan mengubahsuaikan kandungan kurikulum bahan yang diambil dari internet, laman web dan lain-lain mengikut budaya masyarakat Malaysia.
iii. Perancangan pengajaran guru terhad
Sesetengah guru BM yang mengajar menggunakan TMK akan berasa ketidakjelasan pengajaran bahasa mereka kerana kurang perancangan dalam merancang aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbantukan TMK. Ini akan mendatangkan masalah dan rasa bimbang kepada pelajar untuk belajar bahasa menurut Jone, Kirkup dan Kirkwood kerana guru kurang pengalaman. Guru-guru memerlukan sukatan pelajaran yang munasabah serta perancangan yang baik. Suwarneee pula mendapati bahawa guru-guru BM masih berada di tahap sederhana daripada segi perancangan mereka dalam pengajaran dan pembelajaran berbantukan teknologi maklumat. Apabila guru kurang atau lemah perancangan, maka pelaksanaan penggunaan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran akan tergendala. Justeru, guru-guru memerlukan sukatan pelajaran yang munasabah serta perancangan yang baik supaya objektif pengajaran dan pembelajaran yang ditetapkan dalam rancangan mengajar tercapai. Ketidakjelasan sukatan pelajaran akan menyukarkan pelajar untuk belajar BM dengan berkesan. Masalah akan bertambah serius apabila TMK yang digunakan tidak dapat atau kurang berfungsi untuk membantu pelajar menyelesaikan masalah pembelajaran bahasa mereka.
iv. Monopoli Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Inggeris telah diakui sebagai bahasa dunia, bahasa ilmu dan bahasa TMK. Oleh kerana ilmu TMK dan penciptaan komputer, internet, laman web dan sebagainya bermula dari Barat maka hampir semua istilah yang terdapat dalam komputer dan TMK ialah Bahasa Inggeris. Demikian juga dalam pengajaran dan pembelajaran di mana penggunaan Bahasa Inggeris tidak lagi terhad kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, tetapi telah semakin meluas. Ini terjadi apabila kerajaan memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2004. Akibatnya, penggunaan Bahasa Inggeris semakin meluas dan mengukuhkan lagi penggunaannya dalam TMK.
Apabila ini terjadi, hasrat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK akan lebih sukar. Ini sudah tentu akan menyukarkan Bahasa Melayu untuk memecahkan monopoli Bahasa Inggeris sebagai bahasa TMK. Zamfi dan Mohamed Amin menyatakan bahawa Bahasa Inggeris sudah mantap dan kukuh penggunaannya sebagai bahasa TMK terutamanya daripada segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dan perbendaharaan kata. Di samping itu, bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai di dalam internet, di laman-laman web dan sebagainya banyak dibincang dan ditulis dalam Bahasa Inggeris. Di sinilah letaknya permasalahan yang terus dan akan dialami oleh guru-guru Bahasa Melayu. Langkah mengatasi seperti memahami istilah dan menyesuaikannya dengan istilah Bahasa Melayu perlu dikuasai oleh setiap guru Bahasa Melayu.
v. Kos dan kekurangan peralatan
Proses pengajaran dan pembelajaran berbantukan TMK merupakan suatu yang baru dalam sistem pendidikan negara kita. Oleh yang demikian, Kementerian Pelajaran membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk melengkapkan infrastruktur seperti komputer, makmal komputer, projektor multimedia, sistem pengawalan terminal dan sebagainya di setiap sekolah. Bagi sekolah-sekolah luar bandar dan sekolah-sekolah yang tidak dikategorikan Sekolag Bestari sudah tentu akan mengalami kesukaran untuk menyediakan prasarana berkaitan dengan penggunaan TMK seperti kemudahan internet, komputer dan sebagainya. Semua faktor ini menjadi penghalang kepada guru, khususnya guru Bahasa Melayu mengajar berbantukan bahan TMK seperti internet dalam kalangan pelajarnya.
vi. Jurang digital dan penerimaan masyarakat.
Dalam konteks pendidikan Bahasa Melayu, sudah tentu penerimaan masyarakat terutamanya pelajar-pelajar sekolah akan menjadi titik tolak keberkesanan dan kejayaan sesuatu pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer dan internet. Sebagai contoh, pelajar-pelajar luar bandar sudah tentu mengalami kesukaran untuk belajar Bahasa Melayu di rumah kerana ketiadaan komputer, internet dan faktor sosioekonomi ibu bapa. Justeru, sudah tentu segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan TMK di rumah tidak dapat dijalankan dengan jaya atau berkesan.
vii. Penerapan nilai murni dan moral masyarakat
Maklumat yang terdapat di dalam TMk terlalu banyak dan tidak terbatas bidang ilmunya. Ia mencakupi semua aspek kehidupan manusia sehingga kepada perbincangan yang membincangkan khusus untuk pendidikan. Internet misalnya merupakan jaringan TMK yang paling popular untuk tujuan pendidikan. Namun demikian, tidak semua bahan-bahan yang terdapat di dalam internet sesuai untuk proses pendidikan khasnya untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Ini kerana pelajar-pelajar mungkin akan menyalahgunakan internet dan terdedah kepada unsur-unsur negatif yang boleh menjejaskan nilai moral pelajar.
Dalam hal ini, sekiranya guru Bahasa Melayu ingin menggunakan sesuatu bahan dalam internet sebagai bahan bantu mengajarnya, maka guru perlu memastikan bahan tersebut perlu mencerminkan budaya, normadan menyanjung nilai-nilai estetika masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Bahan-bahan yang tidak bermoral, kurang berkualiti, bahan yang menyentuh sensitiviti kaum, bahasa, budaya sesuatu etnik di Malaysia perlu dielakkan. Malahan, bahasa yang digunakan dalam bahan tersebut juga perlu dilihat. Bahasa-bahasa yang tidak bermoral, berunsur lucah, bahasa yang kurang sopan dan lain-lain bahasa negatif sebaik-baiknya tidak terdapat dalam bahan yang digunakan itu. Tujuannya tidak lain untuk mendidik pelajar agar tidak terpengaruh dengan penggunaan bahasa yang kurang sopan yang boleh mempengaruhi gaya pertuturan dan penulisan mereka.
viii. Kesesuaian bahan pengajaran dan pembelajaran dari internet.
Kebanyakan maklumat yang terdapat di dalam internet datangnya dari negara luar. Terlalu sedikit bahan pengajaran dan pembelajaran yang ditulis oleh rakyat tempatan. Malahan bahan-bahan yang ditulis oleh rakyat tempatan juga lebih banyak kepada Bahasa Inggeris. Oleh yang demikian, maklumat-maklumat tersebut kadang-kadang tidak sesuai dijadikan bahan pendidikan terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Justeru, dalam hal ini guru-guru Bahasa Melayu yang ingin mengambil bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran dari internet perlu memastikan bahan-bahan itu memiliki ciri-ciri seperti berikut:
- Kandungannya sesuai dengan kurikulum sukatan pelajaran Bahasa Melayu ataupun tidak.
- Bahasa Melayu yang terdapat dalam bahan itu sesuai dengan tahap pelajar.
- Bahan yang dipilih itu tidak mengandungi unsur-unsur sensitiviti kaum ataupun menyentuh hak-hak sesuatu kaum seperti bahasa, agama, budaya dan lain-lain.
- Bahan yang dipilih mengandungi pelbagai aras kecekapan yang sesuai dengan kepelbagaian pelajar di dalam bilik darjah.
- Bahan yang dipilih itu dapat mengembangkan potensi bahasa, pemikiran, sahsiah, interpersonal pelajar dan sebagainya.
xi. Kurangnya peranan agensi pelaksana kerajaan
Walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka sudah berusaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti memperbanyakkan bahan-bahan berkaitan Bahasa Melayu di internet, tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka kurang mendapatkan kerjasama dari agensi-agensi kerajaan seperti kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan sebagainya. Sebagai contoh, masih terdapat kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai satu cara menyebarkan maklumat berkaitan dengan peluang pekerjaan, menyambung pelajaran, tender dan sebagainya. Mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu ataupun sekurang-kurangnya menggunakan dwibahasa. Apabila ini terjadi sudah tentu usaha kita hendak menjadikan Bahasa Melayusebagai bahasa TMK akan menghadapi kegagalan ataupun tidak berjalan dengan lancar.
Kita tidak boleh mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Semua agensi kerajaan sama ada agensi peringkat pusat mahupun negeri mesti sama-sama membantu Dewan Bahasa dan Pustaka mendaulatkan penggunaan bahasa TMK berbahasa Melayu. Justeru, semua agensi kerajaan pusat dan negeri perlu memasukkan semua maklumat berkaitan agensi masing-masing dalam Bahasa Melayu ataupun ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Hanya melalui ini sahaja Bahasa Melayu boleh ditingkatkan atau sekurang-kurangnya sebaris dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa TMK.
Cara-cara mengatasi kekangan yang dihadapi oleh guru bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu melalui Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
Menurut Piontek dan Garrock, Rettig dan Smith berpendapat bahawa beberapa aspek perlu diambil kira oleh guru apabila memilih maklumat yang terdapat dalam teknologi maklumat, terutamanya laman-laman web. Dalam konteks itu, guru-guru Bahasa Melayu harus tahu memilih dan menyesuaikan maklumat-maklumat dalam internet, laman web dan sebagainya sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu. Justeru, beberapa cadangan penyelesaian yang dikemukakan ini dapat membantu guru mengajar Bahasa Melayu menggunakan TMK seperti berikut:
· Pemilihan perisian yang menepati kurikulum Bahasa Melayu
Guru-guru Bahasa Melayu perlu memastikan perisian-perisian yang hendak digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran perlu sesuai dengan tahap pelajar, mencakupi aspek-aspek kemahiran bahasa dan berbahasa, berupaya melatih pelajar berfikir secara kritis dan kreatif di samping mengandungi nilai-nilai murni yang sesuai untuk diterapkan. Kementerian Pendidikan misalnya perlu merancang dan merangka kurikulum yang tersusun dan menyeluruh bagi penggunaan internet di dalam bilik darjah agar pelaksanaannya dapat mendatangkan manfaat kepada pelajar-pelajar. Kurikulum tersebut perlu mengambil kira tahap kebolehan pelajar, lokasi sekolah dan kemampuan sekolah dari segi kewangan.
· Pembentukan kumpulan penilaian perisian yang dibuat dalam Bahasa Melayu
Pembentukan kumpulan penilian perisian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran boleh menyelesaikan sebarang masalah yang timbul berkaitan dengan penggunaan teknologi maklumat. Guru-guru bahasa perlu bekerjasama sesama mereka supaya setiap TMK yang digunakan dapat memberi manfaat kepada guru dan pelajar. Menurut Faridah, guru-guru yang berjaya membentuk kumpulan-kumpulan kerja (dalam aspek pengajaran dan pembelajaran) dapat bertukar-tukar maklumat tentang beberapa perkara berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam hal ini, guru-guru boleh bekerjasama dalam satu kumpulan seperti membuat pemilihan, penilaian dan pembelian sesuatu program perisian. Perkara yang paling mencabar bagi guru-guru ialah bagaimana hendak mengintegrasikan dengan jayanya sesuatu program perisian itu ke dalam sesuatu kurikulum. Justeru, guru-guru Bahasa Melayu bekerjasama dalam satu kumpulan bagi memastikan perisian yang digunakan itu sesuai untuk pendidikan Bahasa Melayu.
· Kursus kemahiran penggunaan TMK
Bagi mencapai hasil yang cemerlang dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru-guru bahasa khususnya perlu diberi peluang oleh pentadbir sekolah untuk mengikuti kursus-kursus yang berkaitan dengan penggunaan teknologi dalam pendidikan. Kursus-kursus yang berkaitan dengan penggunaan internet, laman web dan sebagainya harus didedahkan kepada guru-guru Bahasa Melayu. Guru-guru juga perlu diberi kursus berkaitan dengan bagaimana hendak mengakses komputer, internet, bahan dalam internet dan sebagainya. Dengan pengetahuan dan sedikit kepakaran yang diterima akan membantu guru-guru Bahasa Melayu mempraktikkan penggunaan teknologi sebagai bahan bantu mengajar ketika mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di dalam kelas. Secara tidak langsung, kursus kemahiran menggunakan teknologi akan menjadikan guru Bahasa Melayu seorang guru yang berinovasi untuk jangka panjang.
· Penguasaan bahasa TMK – Bahasa Inggeris
Guru-guru Bahasa Melayu perlu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Oleh kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa dominan dalam TMK, kelemahan menguasai bahasa siber pasti akan menyukarkan proses pengajaran guru. Penggunaan bahasa TMK dapat membantu guru-guru Bahasa Melayu mengajar pelbagai kemahiran bahasa dan berbahasa seperti membaca, menulis, tatabahasa, ayat dan lain-lain yang semuanya menuntut guru Bahasa Melayu memahami istilah-istilah yang terdapat dalam teknologi maklumat. Justeru, guru perlu mempertingkatkan keupayaan menguasai bahasa siber terutamanya Bahasa Inggeris yang dominan dalam TMK. Selain itu, guru-guru Bahasa Melayu perlu juga menguasai istilah-istilah bahasa siber seperti yang terdapat dalam Kamus Komputer. Amat rugi sekiranya guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar di Sekolah Bestari atau guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar menggunakan komputer atau internet tidak tahu menggunakan komputer, bahasa komouter dan sebagainya.
· Kelengkapan prasarana
Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu memperuntukkan wang yang besar. Peruntukan ini perlu dimasukkan ke dalam Belanjawan Negara. Dengan cara ini mudah bagi Kementerian Pelajaran menyalur dan menyediakan makmal dan perkakasan ke sekolah-sekolah terutamanya sekolah-sekolah yang dinaikkan taraf sebagai Sekolah Bestari dan sekolah-sekolah luar bandar. Kualiti perkakasan yang dibekalkan juga perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian bagi memastikan setiap perkakasan yang dibekalkan ke sekolah-sekolah benar-benar berkualiti dan boleh digunakan. Dengan kata lain, guru Bahasa Melayu yang ingin mengajar menggunakan komputer, internet, laman web dalam pengajaran dan pembelajaran akan berjaya dan berkesan sekiranya bahan-bahan yang disediakan berkualiti dan dapat meningkatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
· Penglibatan dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka
Antara usaha yang boleh dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah menerbitkan pelbagai buku berkaitan dengan bahasa TMK untuk kegunaan guru-guru di sekolah (termasuk guru Bahasa Melayu) seperti kamus-kamus pelbagai jenis, istilah dan pedoman ejaan dan lain-lain sumber merupai bahan rujukan untuk mempergiatkan penggunaan Bahasa Melayu oleh guru-guru di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha mengeluarkan pelbagai penerbitan dengan harga yang berpatutan adalah menggalakkan.
· Peranan pentadbiran sekolah
Pentadbiran sekolah terutamanya Pengetua dan Guru Besar mempunyai bidang kuasa yang luas dan mutlak jika mahukan TMK menjadi pemangkin dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Pengetua dan Guru Besar boleh mengarahkan guru Bahasa Melayu misalnya menggunakan perisian pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu sekurang-kurangnya sebulan sekali ketika mengajar. Proses ini boleh dilaksanakan dengan jayanya sekiranya Pengetua dan Guru Besar bertegas dalam hal ini dengan syarat semua prasarana pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer sudah lengkap. Apabila arahan diwajibkan menggunakan TMK dalam pengajaran dan pembelajaran , maka sudah tentu guru-guru Bahasa Melayu akan berusaha untuk menggunakan pelbagai perisian pengajaran Bahasa Melayu yang ada di pasaran hari ini sebagai sebahagian daripada bahan bantu pengajaran mereka. Dengan cara ini usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK dalam pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan baik dan berkesan.
· Cadangan lain untuk penambahbaikan
Terdapat beberapa cadangan lain untuk mengatasi kekangan yang dihadapi oleh guru bagi merealisasikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu melalui TMK. Antaranya adalah seperti berikut:
- Menggalakkan pemilikan komputer kepada guru-guru secara individu. Ia akan dapat meningkatkan keberkesanan dan kecekapan guru Bahasa Melayu dalam membina sesuatu perisian mengajar dan sebagainya.
- Memberikan galakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan juga khidmat nasihat untuk mendorong lebih ramai guru Bahasa Melayu melanjutkan pelajaran dan menghadiri kursus berkaitan dengan TMK misalnya kursus pembinaan perisian Bahasa Melayu untuk Sekolah Bestari.
- Mengadakan lebih banyak kursus dalam perkhidmatan kemahiran TMK kepada guru Bahasa Melayu semua peringkat (sekolah rendah dan menengah).
- Mengiktiraf atau membeli perisian-perisian yang dibangunkan sendiri oleh guru-guru Bahasa Melayu.
- Mengadakan bengkel-bengkel membina perisian kepada guru (termasuk Bahasa Melayu) dalam kursus dalam perkhidmatan.
- Memberi intensif dan galakan berterusan terhadap penggunaan TMK dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
- Bengkel kepakaran dalam kalangan guru Bahasa Melayu.
- Guru-guru Bahasa Melayu seharusnya pakar dalam penggunaan teknologi maklumat. Kemahiran Tmk ini tidak terbatas hanya kepada guru komputer dan guru TMK sahaja. Sebaliknya, kepakaran yang ada dalam kalangan guru Bahasa Melayu yang lain mengajar Bahasa Melayu dengan baik dengan menggunakan teknologi maklumat.
Penutup
Bahasa Melayu sedang mengalami zaman penuh cabaran terutama dari segi pandangan umum terhadap kepentingannya dalam pengajaran. Walaupun demikian, aspek pengajaran perlu diberikan perhatian dengan menekankan penguasaan kemahiran bahasa yang diajarkan. Penggunaan komputer dalam pengajaran Bahasa Melayu berupaya meningkatkan lagi keupayaan pelajar dalam menguasai Bahasa Melayu dengan lebih baik. Oleh itu, aspek latihan dalam perkhidmatan, penyediaan bahan pembelajaran interaktif, menggalakkan penggunaan internet dalam pengajaran serta penyediaan teknologi yang sesuai dengan keperluan semasa perlu diberikan perhatian.
Rujukan
1. A.Aziz Deraman (2007). Bahasa Melayu dan Cabaran Global. Dewan Bahasa, 7(2), 26-30
5. Goh Ying Soon, Azman bin Che Mat, Tey Meng Kar. Cabaran, Peluang dan Ancaman
Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran Bahasa Melayu.
http://www1.tganu.uitm.edu.my/sitma06/PDF/sessi%204/s4b8.pdf
Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran Bahasa Melayu.
http://www1.tganu.uitm.edu.my/sitma06/PDF/sessi%204/s4b8.pdf
6. Mohd Feroz Abu Bakar, (1999). IT dalam Pendidikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan