Ayat gabungan
Ayat gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat yang digabungkan menjadi satu ayat dengan menggunakan kata penghubung seperti dan, serta, atau, tetapi, lalu, dan sebagainya untuk mengaitkan pendapat yang berhubungan antara satu dengan yang lain. Bahasa Melayu mempunyai enam pola ayat gabungan, iaitu:
- Ayat dengan ayat
- Subjek dengan subjek
- Predikat dengan predikat
- Adverba dengan adverba
- Objek dengan objek.
- Ayat gabungan dengan kata penghubung yang berpasangan.
Jenis ayat gabungan | Ayat komponen | Ayat gabungan |
---|---|---|
Ayat dengan ayat | Abu amat rajin bekerja. Majikan menaikkan gajinya. | Abu amat rajin bekerja dan majikan menaikkan gajinya. |
Subjek dengan subjek | Ali suka makan manggis. Ahmad suka makan manggis. | Ali dan Ahmad suka makan manggis. |
Predikat dengan predikat | Mereka menghadiri ceramah itu. Mereka menganggap ceramah itu sangat berfaedah. | Mereka menghadiri ceramah itu kerana mereka menganggap ceramah itu sangat berfaedah. |
Adverba dengan adverba | Saya akan menghabiskan kerja itu besok. Jika tidak jadi, saya akan menghabiskan kerja itu lusa. | Saya akan menghabiskan kerja itu besok atau lusa. |
Objek dengan objek | Ibu membeli sayur di pasar. Ibu membeli ikan di pasar. | Ibu membeli sayur dan ikan di pasar. |
Ayat gabungan dengan kata penghubung yang berpasangan | - | Sedangkan dia tidak dapat memasuki kolej itu, apatah lagi saya. |
Selain daripada memperkaya gaya penulisan, ayat gabungan dapat mengaitkan dua ayat yang seakan-akan tidak ada perkaitan. Contohnya:
- Perkara itulah yang saya nyatakan kepada Polar.
- Polar tidak percaya.
Kedua-dua ayat seakan-akan tidak ada perkaitan. Jadi, dalam hal sedemikian, ayat gabungan yang berikut amat perlu digunakan:
- Perkara itulah yang saya nyatakan kepada Polar, tetapi Polar tidak percaya.
Ayat pancangan
Ayat pancangan ialah ayat gabungan yang terdiri daripada satu ayat besar dan satu klausa (ayat kecil), umpamanya:
- Keluarga Ali berpindah ke Kuala Lumpur kerana penukaran kerjanya.
- Jika hari hujan, saya tidak akan keluar dari rumah.
- Angkatan tentera British tertewas di Singapura walaupun mempunyai lebih askar berbanding dengan tentera Jepun.
(Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Jenis-jenis_ayat_bahasa_Melayu)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan