Rabu, 27 Julai 2011

Ayat Inti

Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan "Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.



Pola ayat inti

Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti:
  1. Frasa Nama + Frasa Nama
  2. Frasa Nama + Frasa Kerja
  3. Frasa Nama + Frasa Adjektif
  4. Frasa Nama + Frasa Sendi

Frasa Nama + Frasa Nama

Contoh:

SubjekPredikat
  1. Ali
  2. Kami
  3. Kucing
  4. Itu
guru.
jiran.
mamalia.
buku.

Kesalahan yang biasa berlaku

Kesalahan yang agak meluas berasal khususnya daripada mereka yang bersikap keinggerisan. Mereka menganggap bahawa perkataan "seorang", "sebuah", dan sebagainya harus disisipkan untuk mewakili artikel a dan an dalam bahasa Inggeris. Umpamanya, ayat (1) di atas dianggap tidak lengkap jika tidak ditulis sebagai "Ali seorang guru". Yang lebih bersikap keinggerisan menganggap ayat yang betul-betul sempurna ialah: "Ali ialah seorang guru." Mereka menganggap "ialah" sebagai terjemahan kopula seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Jadi timbullah anggapan yang salah bahawa sesuatu ayat itu tidak sempurna jika tiadanya "ialah" ataupun "adalah".
Walau bagaimanapun, perkataan "adalah" boleh disisipkan dalam ayat jika seseorang hendak menegaskan maksud, umpamanya:
  1. Ali adalah guru.
  2. Kucing adalah mamalia.
Kata "adalah" dalam ayat-ayat itu digunakan apabila timbul keraguan yang dapat dibayangkan dengan adanya pertanyaan yang menggunakan kata adakah seperti:
  1. Adakah Ali guru?
  2. Adakah kucing mamalia?
Kata "adalah" dalam ayat-ayat di atas samalah dengan kata "benarkah" atau "betulkah". Bagaimanapun, ayat yang disertai "adalah" bukan ayat inti lagi.

Frasa Nama + Frasa Kerja

Contoh:

SubjekPredikat
  1. Saya
  2. Kami
  3. Kucing ini
  4. Syarikat itu
berdiri.
menulis rencana.
menangkap tikus.
membuka kilang.

Predikat ayat inti untuk pola ini dapat diperluas dengan menggunakan kata bantu yang terbahagi dua:
  1. kata bantu aspek: akan, belum, masih, sedang, sudah, telah;
  2. kata bantu modaliti: boleh, dapat.
Letak kata bantu ialah sebelum kata kerja. Selain itu, predikat untuk ayat ini dapat diperluas dengan menggunakan keterangan seperti: Saya duduk di kerusi. "Di kerusi" ialah keterangan tempat.

Kesalahan yang biasa berlaku

Kata kerja transitif

Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata kerja transitif tanpa objek.
SalahBetul
Syarikat itu membuka di Pulau Pinang.Syarikat itu membuka kilang di Pulau Pinang.
Kami membincangkan tentang masalah itu.Kami membincangkan masalah itu.

Kata kerja intransitif

Satu kesalahan lagi ialah penggunaan kata kerja intransitif tanpa diikuti oleh kata sendi apabila predikat diperluas.
SalahBetul
Saya sedar perkara itu.Saya sedar akan perkara itu.
Dia masih ingat kejadian itu.Dia masih ingat akan kejadian itu.

Frasa Nama + Frasa Adjektif

Contoh:

SubjekPredikat
  1. Dia
  2. Kami
  3. Anjing itu
  4. Pisau ini
bijak.
lapar.
garang.
tajam.

Predikat ayat pola ini dapat dluaskan dengan menggunakan kata penguat yang terbahagi tiga:
  1. penguat depan: begitu
  2. penguat belakang: sekali, betul
  3. penguat bebas: sangat

Kesalahan yang biasa berlaku

Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata penguat secara berlebihan:
SalahBetul
Dia begitu bijak sekali.Dia begitu bijak.
Dia bijak sekali.
Anjing itu sangat garang betul.Anjing itu sangat garang.
Anjing itu garang betul.

Frasa Nama + Frasa Sendi

Contoh:

SubjekPredikat
  1. Saya
  2. Dia
  3. Kami
  4. Buku ini
ke Kuala Lumpur.
di sekolah.
di rumah.
untuk adik.

Kesalahan yang biasa berlaku

Kesalahan yang biasa berlaku ialah anggapan bahawa frasa sendi tidak boleh berdiri sendiri tanpa kata kerja. Contohnya, ada orang yang beranggapan bahawa:
  • ayat (1) mesti ditulis: Saya pergi ke Kuala Lumpur; atau
  • ayat (4) mesti ditulis: Buku ini dibeli untuk adik.
Sebenarnya baik disertai kata kerja atau tidak, ayat-ayat itu betul belaka.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...