Rabu, 27 Julai 2011

Ayat Pasif


Ayat pasif ialah ayat yang menekankan objek dan perbuatannya berbanding "ayat aktif" yang menekankan si pelaku. Kedua-dua ayat tidak ada kelainan makna apa pun. Bagaimanapun, sasterawan dan penulis yang baik sering menggunakan ayat aktif dan ayat pasif secara sedar, bergantung kepada apa yang hendak ditekankan.
Kebetulan, hikayat-hikayat Melayu dan karya sastera Melayu lama lebih banyak menggunakan ayat pasif. Prof. St. Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa kejadian itu disebabkan oleh cara hidup atau sikap pasif orang Melayu pada zaman silam. Bagaimanapun, ahli bahasa Awang Sariyan tidak bersetuju dengan pendapat itu, dan berasa bahawa pemilihan ayat pasif itu sebenarnya "mencerminkan budi dan peribadi orang Melayu yang tidak menekankan ego individu". Menurutnya, "barangkali dengan perubahan nilai hidup moden, penulis sekarang lebih banyak menggunakan ayat aktif yang menekankan pelaku".

Ayat pasif untuk pelaku pertama dan kedua
Proses membentuk ayat pasif diri pertama dan kedua adalah sama dan terdiri daripada dua langkah:
  1. Objek dipindahkan ke pangkal ayat;
  2. Awalan meN digugurkan.

Kesalahan yang biasa berlaku

1.   Kesalahan menggunakan aturan ayat pasif bahasa Inggeris

Kesalahan yang agak meluas berasal khususnya daripada mereka yang bersikap keinggerisan. Misalnya:
  1. Surat itu telah dihantar oleh saya semalam.
  2. Borang itu mesti diisikan oleh anda dahulu.
Dalam bahasa Inggeris, ayat di atas memang boleh diterima:
  1. That letter was sent by me yesterday.
  2. The form must be filled by you first.
Sebenarnya, aturan di atas ini juga merupakan aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga. Umpamanya, ayat-ayat yang berikut adalah betul:
  1. Surat itu telah dihantar oleh Ali semalam.
  2. Borang itu mesti diisikan oleh pemohon dahulu.
Oleh itu, kesalahan ini juga boleh dianggap sebagai "kesalahan menggunakan aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga".

2.   Kesalahan tidak menggugurkan meN


Ayat aktifAyat pasif
SalahBetul
Saya membeli kereta itu daripada Ali.Kereta itu saya membeli daripada Ali.Kereta itu saya beli daripada Ali.
Anda mesti menjawab soalan-soalan itu.Soalan-soalan itu mesti anda menjawab.Soalan-soalan itu mesti anda jawab.
Kamu mestilah menyiapkan kerja itu hari ini.Kerja itu mesti kamu menyiapkan hari ini.Kerja itu mesti kamu siapkan hari ini.

3.   Kesalahan menyisipkan kata lain antara pelaku dengan kata kerja pasif

Frasa subjek dan kata kerja pasif merupakan satu ikatan yang tidak boleh dipisahkan. Oleh itu, jika anda menggunakan kata bantu atau kata nafi, kata itu tidak boleh disisipkan antara pelaku dengan kata kerja pasif.
SalahBetul
Buku itu saya telah baca.Buku itu telah saya baca.
Buku itu saya tidak baca.Buku itu tidak saya baca.
Kerja itu kamu mesti siapkan hari ini.Kerja itu mesti kamu siapkan hari ini.

Ayat pasif untuk pelaku ketiga

Oleh sebab aturan ayat pasif untuk pelaku ketiga sama saja dengan aturan ayat pasif bahasa Inggeris, kesalahan ayat pasif ini jarang dibuat oleh mereka yang bersikap keinggerisan. Sebaliknya, kesalahan ayat pasif ini dibuat oleh kalangan yang sepatutnya fasih dalam bahasa Melayu tetapi suka menggunakan bahasa dengan cara yang mudah. Memang ada baiknya menggunakan bahasa yang mudah supaya semua orang mudah faham, tetapi bahasa yang mudah mesti juga mematuhi aturan.

Kesalahan yang biasa berlaku

Ayat-ayat berikut yang salah lazim diucapkan orang sehingga dianggap betul.
SalahBetul
Buku itu Ahmad baca.Buku itu dibaca oleh Ahmad.
Surat itu abang hantar semalam.Surat itu dihantar oleh abang semalam.
Kerja itu mereka mesti siapkan hari ini.Kerja itu mesti disiapkan oleh mereka hari ini.

Perbandingan antara bentuk kata kerja pasif diri


Kata kerja aktifPasif diri pertamaPasif diri keduaPasif diri ketiga
memberisaya berianda beridiberi
menyapukusapukausapudisapu
melukiskami lukiskamu lukisdilukis
membayarkita bayaranda bayardibayar

Ayat pasif yang lain

Ayat pasif "ber"

Selain daripada digunakan dalam ayat aktif, awalan "ber" kekadang juga digunakan dalam ayat pasif selepas "belum" dan "sudah" sebagai ganti untuk awalan "di":
Penggunaan "ber"Penggunaan "di"
Seluar saya belum berjahit.Seluar saya belum dijahit.
Surat itu sudah bertaip.Surat itu sudah ditaip.
Pintu rumah sudah berkunci.Pintu rumah sudah dikunci.

Bagaimanapun, kedua-dua awalan membawa konotasi yang berlainan. Awalan "di" membawa tanggapan bahawa kata kerja pasif itu dihubungkan dengan pelaku ketiga, sedangkan awalan "ber" tidak ada penekanan pelaku sama sekali. Ini disebabkan bahawa "di" sering diikuti oleh "oleh", umpamanya "Seluar saya belum dijahit oleh seseorang". Bagaimanapun, penggunaan "ber" dalam bentuk ini juga membayangkan kekayaan gaya bahasa Melayu yang menyebabkan bahasa ini hidup dan menarik.

Ayat pasif "ter"

Awalan "ter" dalam ayat pasif biasanya berkaitan dengan keupayaan dan tanda selesainya sesuatu perbuatan atau perbuatan yang sedia berlaku.
Menunjukkan keupayaanMenunjukkan perbuatan yang siap
Batu yang besar itu terangkat olehku.Kedai itu tertutup sejak tadi.
Projek yang rumit itu terlaksana juga oleh usahawan baru.Buku ini terkarang oleh Awang Sariyan.
Cita-cita ibu yang besar itu tertunai juga olehnya.Perabot di ruang tamu itu tersusun.

Dalam penggunaan bahasa sekarang, bentuk ayat pasif sedemikian untuk menunjukkan keupayaan amat kurang, tetapi masih sah.

Ayat pasif "ke-an"

Ayat pasif yang menggunakan imbuhan "ke-an" sebagai ganti untuk "mengalami keadaan" ialah ungkapan yang tetap bentuknya dan tidak dapat diubah-ubah lagi. Bagaimanapun, dengan berdasarkan pola yang sedia ada itu, banyak lagi ayat pasif "ke-an" dapat dibentukkan.
Penggunaan bentuk pasif "ke-an"Maksud
Kerana lewat bangun, saya ketinggalan bas.Kerana lewat bangun, saya mengalami keadaan "ditinggalkan bas".
Jiran saya kecurian malam tadi.Jiran saya mengalami keadaan "hartanya dicuri orang".
Orang itu baru kematian suami.Orang itu mengalami keadaan "suaminya mati".

Ayat pasif "kena"

Ayat pasif yang menggunakan kata "kena" sebagai ganti untuk awalan "di" lebih banyak digunakan oleh orang dalam pertuturan. Bagaimanapun, bentuk pasif ini boleh juga digunakan untuk gaya bahasa sebagai pilihan lain.
Penggunaan "kena"Penggunaan "di"
Pemandu itu kena saman.Pemandu itu disaman.
Budak nakal itu kena pukul.Budak nakal itu dipukul.
Pencuri itu kena tangkap.Pencuri itu ditangkap.

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...