Ayat nafi
Ayat nafi ditandai oleh adanya kata "bukan" dan "tidak". Secara umum, ayat nafi digunakan untuk menafikan atau menidakkan sesuatu, umpamanya:
- Dia tidak berpengalaman, tetapi cekap.
- Aurora bukan jururawat, tetapi doktor.
Disamping itu, ayat nafi boleh juga digunakan untuk menekankan atau menegaskan sesuatu maksud. Contohnya:
Ayat biasa | Ayat nafi |
---|---|
Cadangannya harus diketepikan. | Cadangannya tidak perlu kita pedulikan. |
Kerja ketua memang susah. | Kerja ketua tidak pernah senang. |
Walaupun kedua-dua ayat dalam setiap pasangan di atas mempunyai maksud yang sama, ayat nafi menekankan maksudnya, sedangkan ayat biasa menyatakan maksud secara biasa sahaja.
Peranan ayat nafi sebagai penegas maksud juga boleh diperhatikan dalam ayat tanya, umpamanya:
- Bukankah orang itu guru kamu?
- Tidakkah kamu ingin menyertai peraduan itu?
- Anda sudah faham, bukan?
Penggunaan dengan frasa nama
Secara umum, kata nafi "bukan" digunakan apabila frasa yang mengikutinya ialah frasa nama. Contohnya:
- Ini bukan kucing.
- Malaysia bukan negara republik.
- Gajah bukan haiwan yang terbesar di dunia.
Selain itu, "bukan" juga boleh digunakan untuk frasa yang lain daripada frasa nama dalam hubungan seperti yang berikut:
- Dia bukan bodoh, tetapi malas.
- Dia bukan belajar, tetapi bermain.
Kata "bukan" dalam kedua-dua ayat itu boleh juga digantikan dengan "kata tidak":
- Dia tidak bodoh, tetapi malas.
- Dia tidak belajar, tetapi bermain.
Bagaimanapun, penggantian "bukan" dengan "tidak" menyebabkan sedikit perubahan maksud. Penggunaan "tidak" hanya menyatakan maksud secara biasa, sedangkan penggunaan "bukan" menekankan pertentangan dua keadaan secara jelas.
Penggunaan dengan frasa sendi
Untuk frasa sendi, kata nafi bukan dan tidak digunakan menurut kesesuaian, umpamanya:
- Saya tidak ke sekolah hari ini kerana sakit.
- Saya bukan dari sektor kerajaan.
- Malaysia bukan di benua Afrika.
- Buku ini bukan untuk anda.
Kata "bukan" dan "tidak" dalam keempat-empat ayat di atas tidak boleh saling berganti. Oleh sebab itu, perhatian harus diambil dalam penggunaan kata "bukan" dan "tidak".
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku untuk ayat nafi ialah kekeliruan antara penggunaan kata "bukan" dan "tidak".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan